::pegawai urusan permata::

Friday, January 14, 2011

PERSOALAN AGAMA

SAYA pernah terdengar orang berkata, jika kita mandi bogel amalan yang kita lakukan tidak dikira selama 40 hari. Adakah benar dan apakah hukum mandi telanjang di tempat yang tertutup?

JAWAPAN: Hukum mandi bertelanjang di khalayak ramai adalah haram. Hukum mandi bogel walaupun di tempat yang tertutup adalah makruh. Tidak ada hadis sahih yang menyatakan amalan kita tidak dikira selama 40 hari.

Allah maha melihat lagi maha mengetahui. Tanamkanlah perasaan malu dan tunduklah kepada Pencipta. Kita digalakkan supaya mandi menggunakan kain basahan atau sebagainya bagi mematuhi adab-adab ketika mandi.

Terdapat hadis daripada Mu'awiyah bin Haidah RA. yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah; "Ya Rasulullah! Bilakah masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?"

Jawab baginda : "Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki". Aku bertanya lagi, "Bagaimanakah jika sekiranya seseorang daripada kami sedang bersendirian?" Nabi menjawab : "Allah lebih layak untuk kamu malu daripada manusia" (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Membayar zakat fitrah

APAKAH hukumnya jika seseorang itu terlupa membayar zakat fitrah? Apakah yang perlu dilakukannya untuk membetulkan kesilapan itu?

JAWAPAN: Seseorang yang benar-benar terlupa untuk membayar zakat fitrah dimaafkan tetapi dia wajib mengqadakan jumlah zakat yang tidak dibayar. Zakat merupakan ibadah wajib yang ditinggalkan maka ia wajib diganti.

Jika seseorang itu sengaja tidak membayar zakat fitrah tersebut, maka ia dikira berdosa dan wajib juga membayar jumlah zakat tersebut. Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.: "Puasa Ramadan tergantung di antara langit dan bumi, tidak diangkat melainkan dengan mengeluarkan zakat fitrah".

Pelawaan jamuan rakan bukan Islam

SAYA ada menerima jemputan jamuan d rumah rakan yang bukan Islam dan rakan saya tidak makan benda-benda yang haram. Apakah hukumnya?

JAWAPAN: Hukum menerima jemputan rakan yang bukan Islam adalah harus. Namun, sekiranya timbul keraguan dalam penyediaan jamuan pada majlis yang dihadiri, maka ia wajib dielakkan tetapi dengan penuh berhemah.

Ini kerana ia berkait rapat dengan halal dan haramnya sesuatu di sisi Islam seperti yang dijelaskan oleh Abu Abdullah Nu'man, sabda Rasulullah S.A.W : "Sesungguhnya sesuatu yang halal itu nyata dan haram itu nyata dan antara keduanya ada perkara kesamaran (syubhah) yang tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia". (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Bagaimanapun, jika penyediaan makanan oleh pembekal (katering) adalah muslim, maka tiada halangan. Keharusan itu juga mengambil kira pengisian program yang tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

Senario pada hari ini mendapati masyarakat bukan Islam lebih menghormati dan menjaga sensitiviti umat Islam. Sehubungan itu, kita sebagai khalifah di muka bumi ini bertanggungjawab dalam mendedahkan keindahan cara hidup Islam yang sesuai untuk manusia sejagat.

Nazar wajib ditunaikan

APAKAH hukumnya jika tidak melaksanakan nazar? Baru-baru ini saya telah bernazar mahu berpuasa selama seminggu jika keputusan peperiksaan Pendidikan Menengah Rendah (PMR) semuanya pangkat A, tetapi atas sebab kesihatan saya belum berkesempatan menunaikan nazar tersebut.

JAWAPAN: Nazar ialah janji manusia kepada Allah kerana menghargai nikmat yang diterima atau mendapat hajat yang dicita. Janji tersebut wajib ditunaikan.

Nazar mewajibkan atas diri sendiri untuk melakukan sesuatu ibadah untuk Allah yang asal hukumnya tidak wajib. Firman Allah dalam Surah al-Haj ayat 29 : "Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu."

Ia wajib ditunaikan tanpa bertangguh jika mampu melakukannya. Jika berlaku keuzuran ia masih lagi tergantung kewajipannya sehingga ia menunaikan nazarnya itu. Amalan yang perlu dilakukan oleh seseorang berpandukan suruhan Allah S.W.T dalam al-Quran apabila gagal menunaikan nazarnya kepada Allah, firman dalam Surah al-Maidah ayat 89 yang bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.

Maka bayaran dendanya adalah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba.

Sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.

No comments:

Post a Comment